Kehidupan ini bagaikan satu putaran yang sentiasa bergerak, umpama matahari dan bulan. adakalahnya kita merasakan panas dan adakalanya kita merasakan dinginnya malam. Bahangan mentari itu mampu membuatkan kita teguh berdiri dengan kaki yang kian lenguh. Dingin malam pula akan memberikan kita kesegaran malam dalam menghadapi dugaan disiang hari. Banyak dugaan dalam kehidupan, oleh itu setiap dugaan yang kita lalui memerlukan setiap ketelitian dan langkahan yang berhati-hati. Biar kita melangkah meninggalkan keseronokan dunia demi untuk kebaikan alam abadi.Insya-Allah."

Kejadian Alam Daripada Asap

|

Mukkadimah

Alam semesta tidak terus wujud dalam bentuk yang kita lihat pada hari ini. Sebaliknya ia melalui beberapa proses tertentu. Antara proses itu ialah kelahiran gas-gas hidrogen dan helium yang kemudiannya bercantum

 sehingga menjadi gumpalan asap raksasa. Dalam surah al-Fussilat ayat 11 Allah berfirman yang bermaksud, “Kemudian Dia menuju ke langit dan langit ketika itu berbentuk asap lalu Dia berkata kepadanya dan bumi, ‘Datanglah kamu berdua dengan tunduk atau terpaksa’. Keduanya menjawab, ‘Kami datang dengan tunduk’.”

Apabila kita mengamati ayat ini secara mendalam kita mendapati ia mengandungi beberapa konsep kosmologi yang menarik.

 Pertama, ayat ini menjelaskan bahawa Allah menuju ke langit dan langit ketika itu berbentuk asap. Langit melambangkan kosmos yang luas. Kenyataan ini memang selari dengan penemuan semasa dan hal ini akan dibincangkan kemudian. Kedua, Allah mengarahkan langit dan bumi agar keluar menjelma daripada asap yang memenuhi kosmos di peringkat awal kejadian alam. Ia menunjukkan bahawa asap di kosmos menjadi batu bata kepada kelahiran bintang, galaksi, bumi dan yang seumpamanya….

Kejadian Langit dan Bumi Daripada Asap

Dalam surah Fussilat ayat 11, Allah mengatakan langit dan bumi di peringkat awal dahulu kekosongan daripada sebarang objek di langit. Yang wujud ialah asap. Daripada asap ini lahirlah bintang-bintang serta galaksi disusuli dengan kelahiran sistem suria dan bumi. Berhubung dengan ini, dalam kitab Al-Asas fit Tafsir, As-Syeikh Said Hawa berkata, “Sesungguhnya memang sudah ada suatu keyakinan bahawa sebelum terjadinya bintang-bintang, keadaan di angkasa raya adalah dalam bentuk gas seperti asap. Pandangan seperti ini dapat diterima sebagai sahih kerana ia begitu hampir dengan maksud kalimat dukhan dalam al-Quran.”

Kalimat yang digunakan dalam ayat ini yang melambangkan asap ialah dukhan. Dalam bahasa Inggeris dukhan bermaksud smoke. Penggunaan kalimat asap atau smoke ini memang selari dengan penemuan semasa kerana asap lahir dari satu suasana yang panas dan suasana di peringkat awal kejadian alam sememangnya panas.

Ketika menceritakan tentang asap ini, para saintis mengaitkannya dengan gas-gas (terutamanya hidrogen dan helium) yang wujud seperti awan tebal di peringkat awal dahulu. Para saintis menyifatkan asap daripada gas ini sebagai dark clouds, clouds of gas, fog of neutral hydrogen and helium. hot mass of gas dan yang seumpamanya. Ia bermaksud gas-gas di peringkat awal kejadian langit dan bumi wujud dalam bentuk seperti “awan-awan hitam, awan-awan daripada gas, awan-awan gas daripada hidrogen dan helium, gas bersuhu tinggi” dan yang seumpamanya.

 Kejadian langit dan bumi daripada asap menyentuh tentang kejadian objek-objek daripada asap. Oleh sebab bumi merupakan satu objek maka langit yang difirmankan Allah juga merupakan objek-objek seperti bintang, galaksi dan seumpamanya. Kesemua objek ini lahir daripada asap.

Salah satu kajian yang dilakukan dalam bidang ilmu astrofizik ialah mengenal pasti keadaan alam selepas berlakunya peristiwa Big Bang. Kajian menunjukkan, pengembangan alam berlaku dalam keadaan suhu yang tinggi di peringkat itu. Selepas masa berlalu lebih kurang tiga minit proses penyejukan pula berlaku. Keadaan ini memungkinkan kelahiran proton dan neutron dan percantuman kedua-duanya melahirkan nukleus. Nukleus ini kemudiannya bercantum dengan elektron dan dengan itu lahirlah atom hidrogen dan helium.

Selepas 300,000 tahun berlalu (selepas Big Bang), gas-gas hidrogen dan helium bercantum kesan daripada tarikan graviti dan dengan itu lahirlah gumpalan-gumpalan asap raksasa. Daripada gumpalan-gumpalan asap ini, selepas berlalu masa jutaan tahun, lahirlah bintang-bintang, galaksi, planet dan bumi. Hal ini disebutkan dalam The Vindication of the Big Bang: Breakthroughs and Barriers (Parker, Barry R., Plenum Press, New York, 1993).

Penemuan semasa mengesahkan fenomena kejadian alam daripada asap ini. Dalam artikel bertajuk Gas Clouds In Space: Remnants Of The Big Bang di San Francisco Examiner bertarikh 14 Januari 2000, Keay Davidson melaporkan bahawa para saintis menemui gas hidrogen yang bergerak seumpama awan di kawasan angkasa dengan kelajuan lebih kurang 300 batu sejam. Para saintis berpendapat gumpalan gas ini wujud memenuhi kosmos selepas berlakunya ledakan Big Bang dahulu.


National Radio Astronomy Observatory Socorro, New Mexico.News Release, pada 25 Julai 2003, di bawah tajuk Giant Gas Cloud Made Of Atoms Formed In First Stars, melaporkan tentang satu penemuan yang menunjukkan bahawa di peringkat awal kejadian alam, molekul-molekul gas telah memenuhi angkasa dan daripadanya lahirlah bintang-bintang.

Pada tanggal 25 November 1999, di bawah tajuk Puzzle Of Galactic Evolution Solved pula, Science Daily Online melaporkan satu penemuan oleh para saintis daripada Universiti Wisconsin-Madison. Penemuan ini dianggap mampu menjawab persoalan yang selama ini menghantui pakar-pakar astronomi. Mereka mendapati awan-awan raksasa yang dipenuhi gas memainkan peranan penting untuk melahirkan bintang-bintang dan juga galaksi-galaksi di langit sebelum ini. Di samping itu sebahagian daripada awan ini menentukan komposisi kimia di galaksi-galaksi dengan menghujaninya dengan gas-gas tertentu dari masa ke semasa. Penemuan ini pada asalnya dilaporkan dalam jurnal Nature.

Tambahan daripada itu, dalam Universe Today Online bertarikh 2 Februari 2005, di bawah tajuk Missing Matter Could Be Clouds of Gas, dilaporkan bahawa pihak NASA di Chandra X-Ray Observatory menemui dua gumpalan awan raksasa yang dipenuhi gas-gas bersuhu tinggi. Kajian pakar-pakar menunjukkan gas-gas seumpama awan ini mampu melahirkan galaksi-galaksi yang mengandungi berbilion bintang.

Kita boleh simpulkan bab ini dengan merujuk kepada laporan yang dibuat oleh Space Telescope Science Institute di http://origins.stsci.edu. Di bawah tajuk Star Formation, The Earliest Stars, ia melaporkan, “Pakar-pakar dalam bidang kosmologi meyakini alam ini bermula lebih kurang 15 bilion tahun dahulu dengan ledakan Big Bang. Ia melahirkan gas-gas hidrogen dan helium dalam bentuk gumpalan awan raksasa. Kesan daripada tarikan graviti yang berlaku antara molekul-molekul gas ini, lahirlah bintang-bintang.” Penemuan-penemuan ini dan yang seumpamanya mengesahkan kebenaran al-Quran yang terdapat dalam surah Fussilat ini.

Kekaguman Seorang Saintis

Antara saintis yang kagum dengan kenyataan al-Quran ini ialah profesor Yoshihide Kozai daripada Universiti Tokyo, Jepun. Beliau merupakan pengarah National Astronomical Observatory di Mikata, Tokyo, Jepun.

Beliau ditunjukkan ayat-ayat al-Quran yang menceritakan tentang kejadian langit dan bumi. Selepas mengkaji ayat-ayat itu beliau merasakan seolah-olahnya ayat-ayat itu diceritakan oleh seorang yang melihat kejadian alam ini di peringkat tertinggi. Kuasa yang menceritakan kejadian ini mampu melihat kesemua apa yang berlaku…. Berhubung dengan kejadian langit dan bumi daripada asap, beliau berpendapat penemuan-penemuan semasa menunjukkan bahawa fenomena ini memang benar-benar berlaku. Alam sebelum ini memang wujud dalam bentuk gumpalan asap. Daripada gumpalan asap itu lahirlah bintang-bintang dan kelahiran itu menjadi batu asas kepada kelahiran alam ini.

Akhirnya beliau berkata, “Saya amat mengagumi fakta-fakta astronomi yang terdapat dalam Quran.. Dengan membaca Quran dan menjawab persoalan-persoalan yang timbul saya menemui cara untuk mengkaji alam semesta pada masa akan datang.” Hal ini laporkan dalam A Brief Illustrated Guide to Understanding Islam, Darus Salam Publications, 2nd Edition, May 1990.

1 comments:

Fikry Hazman said...

tq . info yang berguna :)

Post a Comment